Penunjuk perasaan bertindak membakar kenderaan yang berada di luar Kedutaan AS di Kaherah |
SAN FRANCISCO – Syarikat enjin pencari
gergasi, Google yang juga pemilik laman perkongsian video Youtube,
kelmarin menegaskan pendirian mereka untuk tidak memadam video menghina
Nabi Muhammad SAW walaupun ia telah mencetuskan protes di kebanyakan
negara di rantau Arab.
Dalam satu kenyataan, Google juga
menolak tuntutan banyak pihak yang menggesa syarikat Internet gergasi
itu untuk mengeluarkan video menyinggung perasaan orang Islam tersebut.
Menurut jurucakap Google, treler filem
berdurasi 14 minit berjudul Innocence of Muslims dihasilkan oleh
pengarah anti-Islam, Sam Bacile itu kononnya tidak melanggar polisi dan
garis panduan Youtube.
Bagaimanapun, susulan daripada protes
ganas pada Selasa lalu Google memutuskan untuk menyekat akses filem
anti-Islam tersebut di Mesir dan Libya bagi tempoh sementara.
Difahamkan, di bawah prosedur Google,
pengguna Youtube boleh melaporkan kandungan tidak senonoh atau tidak
sesuai kepada kumpulan pemerhati syarikat itu di seluruh dunia.
Sehingga semalam, tiada sebarang tindakan diambil dan video tersebut telah ditonton lebih 122,000 pengguna.
Sementara itu, Ketua Pengarah di
Kementerian Komunikasi di Afghanistan mengumumkan kerajaan memutuskan
untuk menyekat akses video yang mempersendakan sifat Rasulullah
tersebut.
“Tindakan itu diambil selepas Presiden
Hamid Karzai mengutuk filem tersebut yang dianggap biadab dan menghina
Islam. Ia juga bertujuan untuk mengelakkan tunjuk perasaan ganas merebak
ke negara ini,” kata Aimal Marjan.
Afghanistan menjadi negara pertama
menyekat akses video itu kerana khuatir insiden protes ganas awal tahun
lalu akan berulang. Februari lalu, sekumpulan penunjuk perasaan
mengadakan tunjuk perasaan yang akhirnya bertukar ganas sebagai
membantah tindakan tentera Amerika Syarikat (AS) membakar al-Quran di
penjara Bagram, utara Kabul. – Reuters
Tidak ada komentar:
Posting Komentar